HOME OF MUSAFIR

Khamis, 27 Januari 2011

KERANA KENANGAN ITU AMAT TERKESAN

Alhamdulillah, saya dapat lagi menulis di sini. Terima kasih ya Allah. Segala yang Engkau nikmatkan pada hambaMu ini semuanya mendatangkan sesuatu hikmah yang terkesan di sanubari. Dunia ini hanya sementara, ya Allah yang maha menghidupkan dan mematikan. Baru sebentar tadi saya diberitakan tentang pemergian seorang sahabat, pergi yang tidak akan kembali lagi ke dunia. Al-Fatihah....

Kenangan itu amat terkesan. Amat indah sekali.. Bagi diri yang serba kedhaifan ini, kenangan adalah satu pengajaran hidup yang amat terkesan. Minggu Mesra Siswa di UiTM Perlis, mengenali Ikatan Mahasiswa Madani (IMAM) sebuah Persatuan Islam dan bersama-sama teman-teman baru di sana... 5 tahun telah berlalu. Kini saya di kampus induk. Ini adalah semester terakhir saya di peringkat ini, di tempat yang jua banyak meninggalkan knangan yang amat terkesan. Gembira, sedih, sakit, sihat, jatuh, bangun, penat, pelbagai lagi perasaan dilalui. "Mungkin ini kali terakhir saya akan bersama-sama sahabat di sini," KENAPA? Kerana malaikat maut sentiasa melawati saya.. Tanpa saya dapat mengesannya.. Hatta saya dalam keadaan gembira dan sihat.

Syukur, kenangan ini mematangkan diri. Terkadang masih ada juga tresalah memilih keputusan dan tindakan. Bagi saya, tiada yang akan saya belajar jika saya tidak pernah salah atau tersilap. Sahabat-sahabat, kalian crminan bagi seseotang yang juga brnama sahabat.. Semoga kita terus bersahabat..

"Madu kemanisan kejayaan hanya dapat dirasai setelah menlan hmpdu kepahitan kegagalan.
Pemimpin yang hebat adalah pmimpin yang bangun setelah jatuh berkali-kali,  dan bangun membawa fikrah Islam."

P/s: Maafkan diri ini selaku seorang sahabat.

Rabu, 26 Januari 2011

UMPAMA BUIH DI WAKTU BANJIR

Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".  - Hadis riwayat Abu Daud  

Sabtu, 22 Januari 2011

MANAGE OUR TIME


TIME IS GOLD
~MENGURUS MASA IBARAT MENGURUS NYAWA~


Khamis, 20 Januari 2011

CIRI-CIRI JEMAAH ISLAM; KEWAJIPAN MENYERTAINYA

Pengunjung yang dihormati.

Islam meletakkan kepentingan jemaah sebagai antara yang perkara yang wajar diberi keutamaan oleh para penganutnya.Kepentingan menyertai jemaah ini dilakarkan melalui hadis Nabi s.a.w:

Dari Umar Al-Khattab r.a,bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda,
”Barangsiapa di antara kamu yang menginginkan syurga,hendaklah dia melazimkan diri (menyertai) jemaah,kerana syaitan selalunya suka dengan orang perseorangan,dan selalu menjauhkan diri dari kumpulan orang berdua ke atas”
Terdapat sekurang-kurangnya 4 versi hadis ini yang mempunyai lafaz berbeza tetapi maknanya tetap sama.
Firman Allah:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya. (Ali-Imran : 104)
Akhirnya,akan timbul persoalan.Apakah yang dimaksudkan dengan jemaah?Dan apakah jenis jemaah yang wajar disertai oleh umat Islam dan yang haram disertai?.Maklum dalam dunia yang serba luas ini,pelbagai jenis jemaah telah wujud dan mempunyai motif tersendiri.Jadi sudah tentu satu panduan atau guide line perlu diketahui umat Islam agar mereka tidak tersasar dari garisan syariat Islam lantaran tersilap memilih jemaah.

Jemaah adalah perkumpulan atau golongan.Berasal dari kata akar (masdar) ‘jamak’ yang bermakna ramai.Dalam menilai jemaah yang ingin disertai, Sheikh Mustafa Mashyur, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin telah mengeluarkan 20 ciri jemaah Islam yang sepatutnya disertai.Penulis senaraikan seperti di bawah:

1- Menggunakan Al Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga jemaah agar ia tidak tunduk melutut dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwah.

2- Jemaah ditubuhkan kerana Allah,demi keredhaannya bukan mencari kemasyhuran dan keduniaan.Jemaah juga mesti menjauhi kegiatan assabiyyah (perkauman) atau nasionalisme kerana faktor ini adalah punca kegagalan jemaah untuk berkembang dan berjaya.Contoh,jemaah Melayu yang ditubuhkan untuk menolong Melayu semata-mata,dan meminggirkan kaum lain.

3- Tujuan jemaah atau pertubuhan yang dibina adalah demi menegakkan Islam dan mendirikan daulah Islamiyyah.Caranya adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan syariat.Jemaah juga mesti bersifat universal,tidak terkongkong pada sesetengah bidang sahaja seperti politik,ekonomi ataupun ibadat.

4-Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw),dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.

5- Jemaah ini mestilah bersifat universal dan tidak terhad pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja.

6-Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah),beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor persekitaran (waqi'). Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah,mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi. Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).

7-Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah. Firman Allah swt,

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu"(Surah Hujurat:11-13)

8- Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.

9- Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.
10- Jemaah tidak sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama. Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.

11-Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12- Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.

13-Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan.

14- Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa,tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun..

15-Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama member sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.

16-Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam,sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.

17- Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Hadid: 28:
"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu".

18-Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan,ekonomi,perundangan, dakwah, kesihatan,ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19- Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah,ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20)-Jemaah ini terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah,sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".
Seperti kata-kata Saidina Ali (r.a):
"Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya".

Samalah dengan jemaah,kenalilah dan fahami terlebih dahulu cirri-ciri jemaah sebelum menyertai jemaah tersebut.

Dr. Yusuf Al-Qardawi pernah meyebut dalam kitabnya, Wajibu syabab' islami, terdapat 4 kewajiban remaja islam iaitu:
1-Berilmu
2-Beramal
3-Berjemaah
4-Melaksanakan.

Antara kepentingan menyertai jemaah adalah penambahan ilmu dan sentiasa dapat melakukan perbincangan dengan mereka yang lebih arif.Dengan itu,kekeliruan terhadap sesuatu perkara dapat dihindarkan dan seseorang itu akan dapat membetulkan kembali jalannya,fikrahnya andai ia tersasar.

Bagi mereka yang enggan menyertai jemaah,Rasulullah menyebutkan melalui 2 hadis baginda:
"Tangan (atau pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)".
Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a katanya:
"Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan. Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu. Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu ? . Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu ? . Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu ? . Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka . Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin ? . Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian"

Wallahua’lam.Semoga tulisan ini sedikit sebanyak dapat membantu umat Islam dalam menilai dan memilih jemaah yang ingin disertai.Maka dengan itu Islam akan kembali gemilang insyaAllah.Islam bersifat syumul, menyeluruh. Kenapa menolak politik???


Sebarang komentar bermanfaat amat dialu-alukan.


**MusafirBermusafir: Sudah berjumpa dengan Jemaah Islam. Alhamdulillah.. :) (jom melihat dasar yg utama, sikap manusia perlu sentiasa diperbaiki kerana kadangkala sikap manusia seringkali melakukan kesilapan ketika melaksanakan dasar..)

TAMRIN DISIPLIN

Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.
TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN. Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.

“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]

Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.

Berdisiplinlah!

p/s: pelajar yang enggan memikul amanah dakwah dengan alasan kesibukan akademik juga harus banyak berkoreksi dan memuhasabah diri…

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/

Isnin, 17 Januari 2011

PERISTIWA HITAM MEMALI: APAKAH KISAH DI SEBALIKNYA?

19 November 2010 yang lalu, genap 25 tahun terjadinya Peristiwa Berdarah Memali pada tahun 1985. Peristiwa kejam yang berlaku di kawasan pendalaman di Baling itu mengakibatkan 13 syahid di tangan pihak polis. Seramai 3600 orang anggota polis terdiri Unit FRU, UTK, Senoi Praq dan anggota dari Bukit Aman terlibat dengan operasi yang di beri nama "Operasi Angkara". Operasi itu di bawah seliaan pegawai Bukit Aman.


Tujuannya menangkap Ustaz Ibrahim Mahmud untuk ditahan di bawah ISA.

Peristiwa pembunuhan itu berlaku ketika PM Dr. Mahathir melakukan lawatan ke China. Manakala Menteri Dalam Negeri yang menjaga PDRM adalah Musa Hitam. Manakala IGP adalah Hanif Omar.

Pada awalnya pihak kerajaan mendakwa berlaku operasi membasmi pengganas komunis. Kemudian menukar tajuk kepada pembasmian ajaran sesat. Berhari-hari media kerajaan terutamanya RTM, Utusan Malaysia dan Berita Harian "mendendangkan" lagu penipuan keatas rakyat mendakwa Ustaz Ibrahim Mahmod membawa ajaran sesat.

Menteri Penerangan yang menjaga RTM ketika itu adalah Rais Yatim yang kini menjawat semula jawatan itu.

Pembohongan kerajaan UMNO tidak bertahan lama. Sultan Kedah mencemar duli menyiram air mawar keatas 13 pusara syuhada Memali menutup terus "mulut jahat" Rais Yatim dan RTMnya.
Kini 25 tahun sudah berlalu. Banyak perkara boleh kita ambil pengajaran dan renungan :

a) Dr Mahathir masih hidup lagi. Tiada sepatahpun ucapan maaf terbuka kepada keluarga Syuhada Memali dan kesal atas peristiwa itu. Mungkin Tuhan panjangkan umurnya bagi beliau peluang bertaubat.

b) Seratus hari selepas Pembunuhan Memali, Musa Hitam letak jawatan sebagai Timbalan Menteri. Nasib Musa juga bertambah malang kerana kehilangan anak lelakinya dalam Peristiwa Keruntuhan Hightower 1994. Mungkinkah pembalasan Tuhan ?

c) Dua tahun selepas Pembunuhan Memali, UMNO berpecah dua. Team A dan Team B. Kemudian menjadi UMNO Baru dan Semangat 46.

d) Hanya seorang pimpinan UMNO yang memohon maaf atas Peristiwa Memali iaitu mantan SU UMNO Dato' Radzi Sheikh Ahmad (ketika itu dalam S46)meminta maaf secara terbuka kepada keluarga Memali. Ucapan itu tersiar di muka depan Harakah.

e) Tiga orang anggota polis yang terbunuh adalah ditembak oleh rakan mereka sendiri ketika serbuan. Bukti Ustaz Ibrahim dan pengikutnya tiada senjata api.

d) Tidak diketahui nasib Perwakilan UMNO Baling yang mengusulkan penangkapan Ustaz Ibrahim dalam Perhimpunan UMNO. Adakah hidup mereka bahagia atau sengsara akibat "kejahatan usul" mereka?

f) Juga tiada diketahui nasib anggota-anggota polis yang menyerang dan membunuh Ustaz Ibrahim dan pengikutnya samada bahagia atau sengsara? Kedengaran khabar, ramai diantaranya jadi kurang siuman. Waallahu'alam.

g) Majlis Memperingati Syuhada Memali diadakan setiap tahun. Sejak 5 tahun kebelakangan ini ianya ditiadakan atas permintaan keluarga anggota polis yang terlibat. Mengapa ? Mungkin mereka kesal apa yang telah berlaku.

h) Beberapa anggota Majlis Fatwa Kedah disingkirkan kerana menfatwakan kesyahidan Ustaz Ibrahim dan pengikutnya.

Beberapa hari selepas peristiwa yang menyayatkan hati itu berlaku, TG Haji Hadi Awang berucap di Markas PAS Taman Melawar. Ucapan beliau tersekat-sekat kerana hiba dan sedih. Ramai hadirin yang menangis dengan tangisan yang kuat ketika itu.

TG Nik Aziz pernah berkata tentang peristiwa tersebut : " Kita akan mengingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini seumur hidup. Akan kita ingat dan sebut terus menerus. Akan kita perkatakan hingga Hari Kiamat."

Jika rakyat Palestin mengingati Peristiwa Dier Yasin, rakyat Indonesia mengingati Peritiwa Tanjung Periuk, rakyat Iraq mengingati Peristiwa Fallejah. Rakyat Malaysia sewajarnya mengingati Peristiwa Memali. Satu perjuangan dan pengorbanan menentang ISA.

Alhamdulillah sempena 25 tahun tragedi ini berlaku, PAS akan mengadakan majlis memperingatinya di bumi Memali sendiri.
Berikut mereka yang syahid dalam Peristiwa Memali:

1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

Sumber: http://tokpepijat.blogspot.com/

Khamis, 13 Januari 2011

UTAMA

Apakah yang lebih UTAMA bagi kita ?

Orang omputih sebut Put First Things First.
Bahasa Melayunya adalah Keutamaan.
Bahasa Arabnya adalah Aulawiyyat.

Dalam kehidupan ini, Put First Things First sangat bergantung kepada sistem nilai kita. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang tidak berharga dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan.

Seorang lelaki cuba memasukkan batu pelbagai saiz di dalam sebuah bekas.
Mula-mula dimasukkan pasir, kemudian batu kecil dan akhirnya batu besar… malangnya batu besar tidak dapat dimasukkan sepenuhnya. Ada batu besar yang perlu dikorbankan, mesti ditinggalkan.

Jika bekas itu adalah masa yang kita ada seharian, maka kita isikan ia dengan pasir, batu kecil dan akhirnya batu besar… malang sekali batu besar itu tidak semua dapat dimasukkan. Ada batu besar yang perlu dikorbankan, mesti ditinggalkan.

Bagaimana jika batu besar itu ialah melawat ibu di kampung yang tidak sihat? Bagaimana jika batu besar itu ialah Hari Ucapan Dan Penyampaian Hadiah anak di sekolah? Bagaimana jika batu besar itu Solat Jemaah di Masjid, atau Usrah bulanan, atau ceramah agama, atau pemeriksaan kesihatan?

Batu besar mana yang bakal kita korbankan, jika tidak semua batu besar mampu masuk ke bekas masa yang ada?
Batu besar, batu kecil, pasir dan air!

Ya, jika bekas air dan masa diisi dengan Put First Things First, semua batu besar dapat dimasukkan. Pasir dan batu kecil mampu masuk dan mencelah. Malah air dapat juga diisi untuk memampatkannya.

Hidup kita dan masa yang ada, adalah seumpama bekas air. Mengisinya harus dengan batu besar sebelum batu kecil.
Apakah yang membesar dan mengecilkan batu itu?

Itulah NILAI.

Jika kita menganggap usrah dan solat berjemaah itu sebagai kurang bernilai, maka ia akan diwakilkan oleh batu kecil ke bekas masa.

Apa yang besar? Rancangan kegemaran di televisyen? Mencari aksesori kereta di setiap hujung minggu? Mengejar harga runtuh di pusat membeli belah?
Apa yang bernilai dalam hidup anda ini?
Penentuan nilai kita, adalah pada cara kita melihat kehidupan. World view…

http://nazrie5799.blogspot.com/2010/11/utama.html