HOME OF MUSAFIR

Ahad, 9 Januari 2011

TAFSIRAN MIMPI MENGIKUT ISLAM

*Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (nombor hadis 6983) dan Imam Muslim (nombor hadis 2263) yang bermaksud:
"Mimpi yang baik daripada seorang yang soleh adalah satu juzuk daripada 46 juzuk daripada kenabian". (lafaz oleh Imam Bukhari)
*Di dalam hadis lain pula yang diriwayatkan oleh Imam bukhari (6984) dan Imam Muslim (2261) yang bermaksud:
"Mimpi yang baik datangnya daripada Allah dan mimpi yang buruk datangnya dari syaitan". (lafaz oleh Imam Muslim)

1. Hakikatnya, mimpi adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sekiranya mimpi itu datang dari Allah Taala ia disebut sebagai ‘al-rukyah’ Kadang-kadang ada juga yang datang dari iblis dan syaitan yang disebut sebagai ‘al-hulm’.
2. Terdapat perbahasan antara ulama mengenai takwil mimpi. Ada mimpi yang boleh ditafsirkan dan ada yang tidak. Walau bagaimanapun tidak semua orang mampu mentafsirkan kebenaran mimpi tersebut. Ramai ulama yang ingin mendalami masalah takwil atau tafsir mimpi tetapi tidak ramai yang mengetahuinya kerana susahnya ilmu tersebut. Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata: ‘Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.’

3. Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah SAW tidak bermimpi melainkan mimpi baginda adalah wahyu dari Allah. Sedangkan mimpi manusia biasa merupakan berita yang disebarkan oleh iblis dan syaitan. Untuk memahami persoalan mimpi ini, bolehlah kita bahagikan mimpi kepada tiga jenis:
1. Mimpi yang baik.
-Mimpi yang baik disebut juga sebagai ‘busyra’ iaitu khabar gembira dari Allah SWT Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedang mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari)
-Dalam sebuah hadis yang lain dari Abu Said al-Khudri r.a., dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang menyenangkan, maka itu adalah daripada Allah Taala. Dia hendaklah memuji Allah dan ceritakannya kepada orang lain” (Riwayat Bukhari) Menurut satu riwayat lain, menjelaskan bahawa larangan menceritakan mimpi baik itu kecuali kepada orang yang disukai atau orang yang paling dekat dengan kita. Hal ini pernah dialami oleh Nabi Yusuf a.s. Baginda bermimpi; sebelas bintang dan matahari sujud kepadanya. Ketika itu ayahnya melarangnya untuk menceritakan kepada saudara-saudaranya yang lain, sebab hal itu boleh mengundang fitnah. Mimpi yang baik boleh dibahagikan kepada dua kategori:
i. Mimpi para Nabi dan Rasul-rasul.
- Mimpi mereka adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT Bukti kebenaran mimpi ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”. (Surah al-Fath, ayat 27).
- Mimpi bagi nabi dan para rasul berbeza dengan mimpi manusia biasa. Hal ini kerana mimpi pesuruh Allah itu adalah benar. Ia merupakan salah satu cara bagaimana wahyu diturunkan dari Allah Taala kepada mereka. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh telah diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (Surah al-Soffat: 102)
- Kalau ditelusuri sejarah para nabi dan rasul-rasul, bukan Nabi Ibrahim a.s. sahaja yang mendapat wahyu dari Allah Taala melalui mimpi Baginda, tetapi hampir semua para nabi, termasuklah Nabi Muhammad SAW Bahkan hadis-hadis Qudsi yang diterima nabi juga merupakan wahyu dari Allah Taala.

ii. Mimpi orang soleh. - Mimpi yang baik akan datang kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Walau bagaimanapun, mimpi yang baik di sini bukanlah bermaksud mimpi yang berbentuk ramalan atau sengaja-sengaja direka-reka apatah lagi bentuknya seolah-olah melampaui qada’ dan qadar Allah SWT. Mimpi melihat Rasulullah SAW adalah ciri-ciri mimpi orang soleh. Dalam sebuah hadis Nabi SAW Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat mengambil bentukku.” (Riwayat Bukhari)
- Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila telah hampir kiamat tidaklah mimpi seorang Muslim itu dusta, mimpi yang paling benar ialah mimpi orang yang paling benar perkataannya dan mimpi seorang Muslim merupakan satu daripada empat puluh enam bahagian daripada mimpi kenabian.” (Riwayat Muslim)
- Justeru itu perlu diingat bahawa mimpi manusia biasa itu tidak mengandungi kebenaran yang mutlak. Kemungkinan tanda kebenarannya berlaku secara kebetulan sahaja, tetapi tidak menutup kemungkinan berlakunya banyak percanggahan yang mengelirukan. Apatah lagi bagi orang yang jahil atau yang memperkuda agama untuk kepentingan peribadi kononnya telah menerima wahyu melalui mimpinya, sehingga membawa kepada syirik dan terkeluar daripada agama Islam. Oleh itu kita yang jahil ini, dilarang mentakwilkan atau menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaiknya berfikirlah lebih rasional dan berpijak pada bumi yang nyata.

2. Mimpi yang buruk.
- Mimpi jenis kedua ini sering berlaku kepada mereka yang mengalami masalah gangguan sama ada daripada iblis dan syaitan ataupun terkena sihir. Selain itu makhluk-makhluk halus juga mampu mengganggu mimpi manusia dengan izin Allah Taala melalui penglibatan manusia itu sendiri.
- Prof. Madya Dr. Amran Kasimin, seorang pengamal perubatan Islam berpendapat, unsur kesedihan, susah hati atau apabila seseorang itu dalam keadaan marah akan menyebabkan pertahanan diri menjadi lemah. Apabila elemen dalaman ini lemah menyebabkan iblis dan syaitan yang sentiasa menunggu-nunggu peluang akan mudah menyerap masuk untuk mengganggu manusia melalui mimpinya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedangkan mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari)
- Secara teorinya apabila kita tidur, jasad sahaja yang berada di atas perbaringan. Sedangkan akal manusia masih wujud, tetapi tidak aktif, tidak berfungsi dan di luar sedar. Ketika inilah, sekiranya kita tiada pertahanan diri menyebabkan makhluk-makhluk tersebut menyerang roh kita sehingga menyebabkan berlakunya gangguan-gangguan seperti mimpi-mimpi yang menakutkan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w menjelaskan daripada Safiyah binti Huyayn, Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut pembuluh darah” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Apabila ini berlaku, ia boleh mengganggu manusia pada bahagian otak, hati dan mengawal pergerakan manusia dengan izin Allah Taala. Dalam sebuah hadis nabi memberi petua; apabila seseorang itu bermimpi yang buruk-buruk, maka jangan diceritakan sama sekali kepada orang lain, termasuk orang yang paling dekat sekalipun.

3. Mimpi mainan tidur.
- Mimpi ketiga ini yang paling banyak berlaku kepada kita. Mimpi jenis ini disebabkan pengaruh menonton cerita-cerita ganas, mengerikan, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi mereka hasil daripada cerita yang ditonton ketika jaga.
- Selain itu, mimpi yang melibatkan anggota fizikal juga adalah mainan tidur. Mimpi ini disebabkan oleh gangguan fikiran yang berpunca daripada penyakit tertentu seperti demam, ramuan ubat, dadah atau pengaruh dan khayalan nafsu yang kuat. Walaupun demikian apabila mimpi tersebut berlaku berulang kali, tiga atau empat kali dalam seminggu, ataupun hampir setiap hari, iaitu ketika hampir terlena atau sedang tidur, ia bukan lagi mainan tidur. Ia kemungkinan antara tanda-tanda seseorang itu mengalami gangguan ataupun terkena sihir.

**p/s: Sebahagian dari mimpi yang kita alami mungkin adalah mainan tidur (gangguan syaitan). Bergantung kepada waktu kita tidur dan kebiasaanya mimpi yang benar selalu berlaku apabila keadaan kita tidur dengan nyenyak terutama 1 jam selepas lena tidur sehingga sebelum waktu subuh. Serta dibacakan doa dan berwudhuk sebelum tidur.

Setiap perkara yang berlaku, berserahlah kepada Qada dan Qadar kerana Allah SWT lah yang maha mengetahui. Wassalam... :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan