HOME OF MUSAFIR

Selasa, 10 Mei 2011

UTUSAN BERMAIN API


1. Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

2. Suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini. Sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Justeru itu, Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

3. PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding UMNO dan Barisan Nasional. Kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

4. Sungguhpun PAS menyertai "kerjasama politik" bersama parti - parti rakan kompenan Pakatan Rakyat [ PKR dan DAP ], namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini. Malah pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa UMNO juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

5. Andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan. Sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

6. Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan UMNO sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah.

7. Lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada UMNO mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat. Malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

8. Jika UMNO berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul. Bahkan dalam masa yang sama, penganut - penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

9. Spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara UMNO dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama. Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera.

10. Spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab. Selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

SUMBER: http://www.eperjuangan.com/2011/05/utusan-bermain-api.html

BERITA DUNIA: BENARKAH OSAMA DIBUNUH?


Tanggal 2 Mei 2011 mungkin menjadi tarikh keramat bagi kerajaan Barat diketuai Amerika Syarikat & Israel kerana telah berjaya membunuh manusia yang disifatkan sebagai paling sukar diburu didunia. Mungkin kita semua tertanya-tanya, betol atau tidak berita ini ? Sebab Amerika pernah bercakap perkara yang sama ketika dahulu, tapi itu semuanya dusta ! Jika benar Osama sudah menemui syahid, Innalillah kita ucapkan kepada as-Syahid Osama bin Laden yang mana telah disahkan sendiri oleh wakil jurucakap al-Qaeda tentang kematian pemimpin utama mereka itu dalam serangan kilat selama 40 minit oleh unit komando Amerika di Pakistan awal pagi Isnin lalu. Ujian asid deosirikbonukleik ( DNA ) mengesahkan bahawa Osama bin Laden sudah meninggal dunia, kata seorang pegawai Amerika Syarikat semalam, sehari selepas serangan tentera khas Amerika Syarikat terhadap pemimpin al-Qaeda itu di Pakistan.
Sejurus berita kematian Osama heboh diperkatakan, dengan langkah penuh yakin, Presiden Barack Obama menuju ke Bilik Timur di White House, Washington untuk membuat pengumuman yang bakal mengundang reaksi berbeza daripada penduduk di seluruh dunia.

Menerusi saluran televisyen negara itu, dengan raut wajah yang serius Obama mengumumkan:
“Pada malam ini, saya boleh melaporkan kepada penduduk di Amerika Syarikat (AS) dan dunia bahawa AS dalam operasinya berjaya membunuh Osama bin Laden, seorang pengganas yang bertanggungjawab membunuh ribuan orang yang tidak berdosa “

Obama menambah :
“Kematian itu merupakan satu pencapaian yang paling signifikan dalam usaha AS menentang jaringan Al-Qaeda. Kita juga mahu tegaskan bahawa AS tidak akan berperang menentang Islam, namun bin Laden (Osama) bukanlah seorang pemimpin Muslim sejati. Dia telah membunuh ramai orang Islam.”
Jelaslah, kajayaan membunuh Osama itu adalah kejayaan politik yang cukup bermakna bagi Obama memandangkan pilihanraya Presiden Amerika akan menjelang tidak lama lagi.

Setelah kenyataan itu tersebar, ribuan rakyat AS yang membanjiri pekarangan White House bersorak kegirangan bagaikan meraikan sebuah perayaan. Malah, dalam respons segera mantan Presiden AS, George Bush kepada stesen televisyen Al Jazeera, Bush berkata, kematian musuh ketatnya itu merupakan satu prestasi terpenting AS.


Watak Osama wujud atau sekadar Boneka AS ?

Sebelum ini, tidak dinafikan, kita telah mendengar banyak cerita dan berita mengenai Osama ini. Ada sumber mengatakan watak Osama ini hanya rekaan Amerika untuk menggambarkan yang Islam itu ‘ terrorist ‘ dan sebagainya. Kita juga ada menonton sebuah dokumentari ‘ The Arrivals ‘ yang memaparkan watak Osama itu tidak wujud pun sebenarnya tetapi hanya ‘ diikonkan ‘ sendiri oleh Amerika. Baiklah, saya tidak berhajat untuk membincangkan secara lanjut mengenai kesahihan sumber dari dokumentari tersebut, sebab mungkin ada benarnya berita tersebut dan mungkin juga sebaliknya. Kenapa saya berkata demikian ?

Baik, cuba kita perhatikan betul-betul watak Osama ini kalau betul hanya rekaan :

- Kalau watak Osama itu hanya rekaan, kenapa Mujahidin-mujahidin Islam seluruh dunia tidak pernah ada yang tampil membenarkan fakta itu ?
- Pertubuhan-pertubuhan mujahidin Islam ada yang mendakwa pernah duduk makan sekali dengan Osama, selain merancang strategi peperangan, so ?
- Kenapa Amerika pernah menawarkan ganjaran sebanyak AS$50 juta (RM175 juta) kepada pemberi maklumat mengenai Osama ?

- Kenapa Amerika dikatakan ingin menguburkan jenazah Osama di laut ? Adakah meraka takut tembelang penipuan tentang watak Osama yang diikonkan mereka selama ini pecah diselongkar media ?

Sekiranya watak Osama ini dikatakan benar-benar wujud :

- Kenapa susah dan lama sangat Amerika hendak kesan Osama sedangkan teknologi Amerika adalah antara yang termaju di dunia? Sebab jika dicongak, AS sebenarnya mengambil masa hampir dua dekad sehingga bertukar tiga pemimpin iaitu dari era Bill Clinton, Bush hingga ke Obama untuk melenyapkan Osama.
- Kenapa sampai dua kali Amerika mendakwa telah berjaya membunuh Osama ? Nampak macam rekaan bukan ?

Baiklah, berdasarkan persoalan-persoalan yang ditimbulkan, saya tidak berani mengatakan sumber yang mana betul yang mana salah ( mengenai watak Osama ). Tapi bagi saya, mempercayai sumber dari Muslim lebih kukuh ( merujuk dakwaan Mujahidin tentang kewujudan Osama ) kerana ia boleh dipercayai ditambah pula dengan kenyataan terbaru jurucakap khas al-Qaeda, Ahsanullah Ahsan, awal pagi hari ini ( 3 Mei 2011 ) yang menyatakan Osama telah meninggal dunia dalam serangan tersebut. Wallahu’allam. Terserah kepada anda. Namun sebelum anda membuat persepsi mengenai watak kewujudan Osama dengan sedikit analisis yang dibuat, saya ingin mengajak anda mengetahui profile lengkap Osama. Kemudian anda bolehlah membuat tafsiran sendiri tentang kewujudannya sama ada benar atau hanya rekaan.


Profile penuh Osama

1. Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai kematian Osama, saya ingin memberi kefahaman kepada pembaca mengenai persoalan “ Siapa sebenarnya Osama bin Laden ? “
2. Osama berasal daripada sebuah keluarga hartawan. Bapanya, Mohamed bin Awad bin Laden adalah seorang ahli perniagaan bertaraf bilionair dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja Arab Saudi. Mohamed berasal dari Hadramaut, selatan Yaman dan berkahwin dengan Hamida Al-Attas, seorang wanita warga negara Syria.
3. Osama dilahirkan di Jeddah, Arab Saudi pada 10 Mac 1957. Ibunya, Hamida merupakan isteri Mohamed yang ke-10. Bagaimanapun, Hamida kemudian bercerai dengan Mohamed. Mengikut maklumat, Osama dipercayai adalah anak yang ke-17 daripada 50 adik-beradik.
4. Sejak kecil, Beliau digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Malah, Osama sememangnya anti-Barat. Bagaimanapun, Osama menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah sekular yang menggabungkan ( kombinasikan ) pendidikan British dan Islam di Jeddah iaitu Al-Thager Model School dari tahun 1968 hingga tahun 1976.
5. Sekitar tahun 1970-an, Osama telah pun mempunyai empat orang isteri. Isteri pertama yang dikahwininya ketika berusia 17 tahun adalah sepupunya, Najwa Ghanem. CNN juga melaporkan, pemimpin itu adalah bapa kepada 26 cahaya mata.
6. Osama kemudian melanjutkan pengajian di Universiti King Abd Al Aziz dengan mengambil jurusan ekonomi dan pentadbiran perniagaan. Sumber lain juga menyebut, beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Awam pada tahun 1981.
7. Semangat sebagai pejuang Islam dikatakan mula ditonjolkan secara jelas oleh Osama sejak menuntut di kampus lantaran kecenderungannya yang gemar berdebat.
8. Daripada mengamalkan prinsip wasatiah dalam dakwahnya, Osama yang menginjak usia 22 tahun dilihat semakin berani.
9. Sekitar tahun 1973, Osama mewujudkan rangkaian dengan kumpulan gerakan Muslim dan mengembangkan empayarnya menerusi perniagaan pembinaan.
10. Detik Mujahidinnya bermula ketika beliau menyertai Abdullah Azzam. Abdullah merupakan pensyarahnya dan pengasas kumpulan Hamas di Palestin yang menentang pencerobohan penjajahan Soviet di Afghanistan pada 26 Disember 1979.
11. Tentera Soviet menawan Afghanistan, perang yang mengambil masa 10 tahun dan generasi radikal Islam termasuk Osama muncul. Pada 1984, Osama ke Afghanistan untuk berjihad menentang pasukan tentera Soviet. Di sana, beliau memberi bantuan kewangan dan mengetuai 20,000 pejuang Islam yang direkrut di seantero dunia. Pada tahun itu juga, Abdullah dan Osama menubuhkan Maktab al-Khaddamat untuk menentang penindasan AS dan Israel terhadap negara-negara Arab ( Jazirah Arab ).
12. Empat tahun kemudian, iaitu tanggal 28 Ogos 1988, Osama dipercayai menubuhkan al-Qaeda atau pangkalan. Apabila Soviet mengundurkan tenteranya dari Afghanistan pada 1989, al-Qaeda menjadi rangkaian kumpulan Mujahidin Islam dengan keanggotaan di antara 35 hingga 60 negara serta beribu pejabat di Afghanistan. Antara kumpulan yang dikatakan mempunyai kaitan secara langsung ialah Jemaah Islamiah (JI) yang pernah diketuai oleh rakyat Malaysia, Noordin Mohd. Top.
13. Pada 1991, tentera bersekutu diketuai Amerika melancarkan perang bagi menewaskan kependudukan Iraq di Kuwait. Osama mengisytiharkan jihad terhadap Amerika kerana menempatkan tenteranya di Arab Saudi, yang juga tanah kelahirannya selain menempatkan dua bandar suci utama umat Islam ( Mekah & Madinah ).
14. Pada 1992, Osama kembali ke Arab Saudi tetapi sokongannya terhadap kumpulan Mujahidin Islam di Mesir dan Algeria menyebabkan negara asalnya menggugurkan pasportnya dan dibuang dari Arab Saudi.
15. Keluarganya juga diminta supaya menghentikan pemberian wang secara bulanan yang keseluruhannya bernilai hampir RM20 juta setahun.
16. Namun perjuangannya dalam menjadi Mujahidin Islam tidak berkubur di situ, malah semakin melonjak sehingga beliau dipanggil ALLAH Ahad lalu(jika benar).




Fiksyen Pengebumian Osama

“DNA Osama didapati sepadan dengan beberapa ahli keluarga dan didapati sekurang-kurangnya 99 peratus DNA terbabit menyamai Osama bin Laden,” kata seorang pegawai kedua White House. Sejurus selepas itu, dikatakan Ameriaka akan menguburkan mayat Osama di laut.

Seorang pegawai Amerika Syarikat berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mendapati sukar bagi sesebuah negara untuk menerima jenazah Osama. Ada juga spekulasi kebimbangan sekiranya kawasan kubur berkenaan bakal menjadi tumpuan militan.

Namun, cadangan mereka itu ditentang para ulama dan cendikiawan Islam seantero dunia. Ulama menyifatkan pengebumian jenazah Osama di laut bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh mencetuskan kemarahan militan untuk membalas dendam kepada Amerika Syarikat.

Walaupun banyak yang dipertikaikan membabitkan pengebumian terbabit termasuk dari segi ajaran Islam sendiri, sekumpulan cendikiawan Islam menyifatkan ia sebagai penghinaan kerana tidak mengikut amalan Islam dengan mengebumikan mayat di dalam kubur dengan mukanya mengadap Kiblat. Mereka menegaskan bahawa pengebumian di laut hanya dibenarkan dalam kes di mana kematian berlaku di dalam kapal.

Sejurus selepas itu, bagi mengelakkan ketegangan, Presiden Barack Obama berkata jenazah Obama akan dikendalikan mengikut ajaran Islam yang menuntut supaya disegerakan pengebumian. Wallahu’allam.

SUMBER: http://www.masjidnegara.gov.my/portal/index.php?option=com_content&view=article&id=300:berita-dunia-benarkah-osama-bin-laden-terbunuh&catid=1:latest
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara.” (S 49:10)
 

OSAMA, YUSUF QARDAWI DAN KERAJAAN MALAYSIA


Kata Najib, keamanan dunia amat diharapkan selepas berita kematian Osama.

Kata TGNA, Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?Kata TGNA sebelum tu, Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika.

Kata saya, orang yang tidak tahu membezakan antara penggaganas dan pembela keamanan adalah orang yang jahil tentang maksud keamanan itu sendiri.

Kata JAIS, Wahabi dan Syiah itu sesat, dan wajar dibendung.

Tapi, saya pula nak tanya, Kristianisasi, Freemansonary tu tak sesat ke? Tak perlu bendung ke?

Yang saya nak kata lagi, musuh kita yang sebenar, yang dikatakan pengganas, yang sepatutnya dilawan, dibendung dan segala macam "di" lagi, bukan Osama, bukan Al-Qaeda, bukan Syiah, bukan Wahabi, bukan Hamas dan apa sahaja gerakan yang membawa Islam. Walau apa pun nama mereka, mazhab mereka, uslub perjuangan mereka, selagi mana mereka membawa nama Allah, menjunjung Islam, mempertahankan Islam, selagi itu mereka saudara kita yang wajib kita sokong.


Musuh kita yang sebenar, mereka yang menyerang negara Islam, menyekat kebebasan kita beramal dengan Islam, menentang hukum Islam, menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan Islam. Itu yang wajib kita lawan, kita perangi. Bukannya sokong mereka semata-mata nak selamatkan kedudukan sendiri.


Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai- Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. (TQS. al-Mâidah [5]: 54)

Sumber: http://sutera-jihad.blogspot.com/2011/05/osama-yusuf-qardhawi-dan-kerajaan.html

Seminar "Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453" Pada 28 Mei 2011


“Dan binalah persiapan bagi menghadapi mereka dengan apa sahaja kekuatan yang kamu mampu.” Demikian surah Al-Anfal, ayat ke 60 yang direkodkan oleh Maulana Shekh Al-Kurani dari Sultan Muhammad bin Murad dalam suratnya kepada raja Mesir, Al-Asyraf Inal menyatakan dengan jelas faktor kejayaannya membuka Kota Konstantinopel.
Pembukaan kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fatih merupakan satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan Islam. Profesor Redzuan Othman menyatakan bahawa kejayaan yang dicapai Sultan Muhammad ini merupakan gabungan inspirasi yang membakar semangat dari para ulama, perancangan yang rapi berasaskan penyelidikan sejarah yang mendalam, kerja sepasukan yang jitu, pemilihan strategi ketenteraan yang sesuai pada waktunya dan keyakinan yang luarbiasa kepada pertolongan Allah Subhanahu Ta’ala. Dr Siddiq Fadzil pula menyifatkannya sebagai hadiah dari sebuah gerakan kependidikan yang panjang sejak dari pengislaman bangsa Mongol yang memusnahkan Baghdad sebelum itu lagi.

Atas asas ini, sebuah seminar akan diadakan sempena memperingati 558 tahun pembukaan Konstantinopel (kini Istanbul) pada 29 Mei 1453. Seminar “Ibrah Pembukaan Konstantinopel” akan diadakan pada hari Sabtu bersamaan 28 Mei 2011 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seminar anjuran Ibrah Paradigm Training & Consultancy dan One Heart Creative Solution ini bertujuan mendedahkan kepada masyarakat dan mahasiswa sebuah peristiwa yang telah mengubah perjalanan sejarah umat Islam selepas tragedi berdarah kejatuhan kerajaan Islam Abbasiah pada 1258 Masihi. Peristiwa yang membenarkan ramalan Nubuwwah ini wajar menjadi iktibar kepada generasi muda dalam usaha menjadikan nasib umat Islam khususnya di Malaysia pada masa akan datang lebih baik daripada keadaannya pada hari ini. Umat Islam mesti diberikan kesedaran dan pencerahan mengenai hukum sebab musabbab (the law of cause and effect) yang menjadi asas terpenting dalam pengkajian dan pembacaan sejarah jatuh bangun peradaban Islam.



Seminar ini dijangka menganalisa pemikiran strategik Sultan Muhammad sepanjang 53 hari kempen pembukaan kota Konstantinopel dilancarkan. Turut dianalisa adalah faktor-faktor kekebalan kota Konstantinopel sehingga 12 percubaan tentera Islam sebelumnya tidak mampu meruntuhkan keegoan empayar Kristian Byzantine zaman berzaman. Maulana Abul Hassan Ali An-Nadawiyy pernah menyebutkan bagaimana sifat teliti, berhati-hati dan matangnya persiapan taktikal Muhammad jauh mengatasi usianya sendiri yang baru 21 tahun ketika misi diumumkan kepada rakyat jelata. Penyediaan 140 buah kapal perang, 320 buah bot, 150 ribu askar, 12 ribu tentera Janissaries, 4 meriam gergasi, puluhan mortar dan ratusan ekor kerbau, sudah cukup menggambarkan persiapan Muhammad jauh terkehadapan dari masa dan zaman baginda hidup sendiri.



Beberapa pameran ringkas akan dipaparkan di dalam dan luar dewan bagi membawa peserta mengimbau sendiri bagaimana detik-detik pengepungan Konstantinopel pada 1453 Masihi itu yang nyata berbeza dengan 20 pengepungan yang dialami Byzantine sepanjang seabad kekuasaan mereka sebelum ini. Beberapa tayangan multimedia yang diperolehi dari Istanbul sendiri akan dikongsikan dengan peserta bagi memudahkan lagi proses mereka memahami bagaimana proses pembukaan kota terkebal di dunia itu dilakukan.

Selain buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh” terbitan PTS Milennia, para peserta seminar juga boleh mendapatkan sebuah buku terbaru bertajuk “Detik-Detik Konstantinopel” terbitan Mazni Irfan Publication, sebuah tesis ilmiah oleh Tuan Abdul Hamid Latip mengenai percubaan percubaan menawan Konstantinopel sejak dari zaman Muawiyah dan Abu Ayyub Al-Ansari lagi.
Seminar ini juga dijangka menganalisa ibrah terbesar dari peristiwa 1453 Masihi tersebut supaya ummah tidak selamanya ditimpa romanticism dan hero-worshipping dari kisah-kisah menakjubkan sepanjang pembukaan Kota Konstantinopel.

Sebagai contoh, ramai kalangan kita yang lebih gemar menganggap peristiwa pemindahan 70 buah kapal Othmaniyyah pada malam 22 April itu sebagai sebuah ‘miracle’ buat Muhammad, ‘tuah’ yang kebetulan diberikan Tuhan padanya dan tidak pada kita pada hari ini. Seandainya kajian mendalam dibuat bagaimana proses penorehan bukit, penebangan pokok, pencurahan minyak dan lemak haiwan, pemilihan masa dan arah peluncuran kapal, pemilihan bukit Galata (Pera) dan Tanduk Emas, nescaya kita akan dapati Muhammad tidak lebih dari hanya menggunakan segenap pengetahuan kejuruteraan, geografi, matematik, dan falak yang ada padanya. Kemudian ia dipadukan lagi dengan disiplin dan kesatuan kerja sepasukan tentera yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah walaupun sudah 2 minggu mengepung kota itu tanpa tanda-tanda kemenangan. Kesimpulannya, bantuan Allah yang datang kepada Sultan Muhammad dan tenteranya sehingga musuh tidak menyedari peristiwa itu terjadi adalah selepas Muhammad melakukan ikhtiar kemanusiaan mengoptimakan upaya akal fikiran semaksima mungkin untuk memenuhi hukum sebab akibat (sunnatullah).

Ternyata ia bukan sebuah kisah karamah seorang wali Allah semata-mata, bahkan kisah kejayaan sebuah proses pendidikan Islam yang menyeluruh dan bermula sejak dari kecil dengan pemantauan yang ketat oleh ibubapanya dan para ulama, serta aplikasi seimbang tanpa dikomoti apa yang disebut pada hari ini dengan ‘aliran agama’ dan ‘aliran sains’.

Menjadi harapan semoga seminar ini berakhir dengan kejelasan peserta mengenai model pendidikan Islam era Othmaniyyah dan mekanisme pembentukan manusia berkualiti hingga melahirkan sebaik-sebaik pemimpin, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat pada masa itu.

Kertas kerja akan dibentangkan oleh panel-panel terbaik dalam pengkajian mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih. Mereka adalah Profesor Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sejarah dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan Ustaz Haji Hasrizal Jamil, Pengarah Urusan Saifulislam Training & Consultancy. Ucaptama akan disampaikan oleh novelis Islam terkenal tanahair iaitu Pak Latip atau Tuan Abdul Latip Talib yang juga menulis novel pertama dalam bahasa Melayu di Malaysia mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih.
Seminar ini juga akan diserikan lagi dengan persembahan khas dari kanak-kanak yang telah bertekad untuk menjadikan Sultan Muhammad Al-Fatih sebagai idola hidup mereka. Kanak-kanak ini adalah para pelajar di Khalifah Model School, Ampang, sebuah institusi pendidikan swasta yang unik dan tersendiri dalam membina dan membentuk generasi Islam di tanah air.

Meneladani Muhammad Al-Fatih bererti meneladani minda intelektualnya seiring dengan semangat aktivisme jihadnya. Halil Inalchik pernah merekodkan bahawa Sultan Al-Ghazi ini pernah belajar agama Kristian dari paderi Gennadius dan mengarahkan Amirutzes dari Trebizon, Critoboulus dari Imros dan Ciriaco dari Ancona untuk menulis sebuah risalah mengenai agama Kristian kepadanya. Amirutzes juga pernah diarahkan Sultan Muhammad menterjemah peta geografi Ptolemy padanya dan menyediakan perpustakaan khas istana dengan bahan-bahan manuskrip Latin dan Greek untuk dibacanya. Shekh Lutfi dilantik untuk menjaga perpustakaan yang menempatkan hampir 12 ribu jilid buku sebelum terbakar pada 1465 Masihi. Bagi persiapan peperangan dan pembukaan yang boleh membabitkan kecederaan ribuan tentera, Sultan Muhammad pernah mengarahkan penterjemahan karya Abul Qasim Az-Zahrawi iaitu At-Tashrif fil al-Thibbi ke dalam bahasa Turki, sebuah karya agung memperihalkan alat-alat bedah dan posisi pesakit ketika pembedahan. Sultan yang sama pernah mengarahkan seluruh tenaga pengajar madrasah-madrasah Othmaniyyah supaya memiliki enam buku wajib dalam bahasa Arab iaitu kitab Ash-Shihah, at-Takmilah, al-Qamus dan sebagainya.

Namun demikian, Sultan yang sama jua sentiasa direkodkan gigih meneruskan misi jihad dan tidak berpada dengan pencapaiannya di Konstantinopel dan gelaran Al-Fatih yang diperolehinya. Ternyata gelaran Al-Ghazi menyebabkan Sultan Muhammad sanggup turun dari kuda dan berjalan kaki bersama tentera menaiki bukit-bukau dan hutan tebal menuju kota Trabzon. Bahkan baginda wafat dalam sebuah misi pembukaan sebuah kota di Barat yang tidak diketahui tenteranya sendiri.

Daftarlah segera seminar yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia ini. Seminar ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan anak muda. Mudah-mudahan seminar ini akan berjalan lancar dan mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu wa Taala.

Muhamad Syaari Ab. Rahman
Pengarah,
Seminar Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453
Penulis Buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh”
Hari : Sabtu
Tarikh : 28 Mei 2011
Bertempat : Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Hubungi : Shahidat 013-3005476
Seminar anjuran Ibrah Paradigm Training & Consultancy dan One Heart Creative Solution
Maklumat lanjut : Layari web http://read1453.blogspot.com